Kisah 5 Perkara Aneh
Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli
fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahwa
antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada
yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu
melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi,
"Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghadap ke
barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka
makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan
engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar
dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah
sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata,
"Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu
yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan
menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya,
tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka
Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa
sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya
lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya
supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu
ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas
itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali
berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan
perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh
Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia
ternampak seekor burung elang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian
terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah
aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun
mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu,
lantas burung elang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata,
"Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi
tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam
mimpinya yang keempat, yaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi
kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan
untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pahanya dan diberikan
kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, elang pun terbang dan burung
kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan
perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat
busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghirup
bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka
kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia
berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana
yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya
ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh
Allah S.W.T. bahwa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada
mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat
mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada
madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap
akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah
kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah
untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau
yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari
orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini
hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa
sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita
elakkan setiap hari ialah menggunjing orang, memang menjadi tabiat seseorang
itu suka menggunjing orang lain. Haruslah kita ingat bahawa menggunjing
seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan
di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang
tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya
pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berfirman Allah S.W.T., "Ini
adalah pahala orang yang menggunjing tentang dirimu." Dengan ini haruslah
kita sadar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata
itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh karena itu, hendaklah kita jangan
menggunjingkan orang walaupun ia benar.
( Edoy Permana )
Tidak ada komentar:
Posting Komentar